Sinar Online

 

Edisi 19

 

Tinta Editor

Fokus

Ibadah

Sirah

Muslimah

Akhlak

Surat Pembaca

Komik

Koleksi Sinar

Wujudkah dalam diri kita, rasa bertuhan? Sejauh mana kita kenal Tuhan yang kita sembah sehari semalam? Sensitifkah hati kita dengan Tuhan yang menjadi kepercayaan kita selama ini? Pernahkah soalan-soalan ini menjadi salah satu agenda utama dalam persoalan hidup kita seharian?

Sebagai salah satu makhluk yang dicipta oleh Allah SWT, sudah sewajarnya kita benar-benar memiliki rasa bertuhan di lubuk hati. Benar-benar merasakan bahawa tiap-tiap sesuatu itu adalah manifestasi atau jelmaan dari kekuasaan Allah; Tuhan yang kita sembah.

Apa yang kita lihat, yang kita dengar, yang kita rasa semuanya adalah bukti kewujudan, kekuasaan, kehebatan, keagongan dan kebijaksanaan Allah. Tapi, adakah atau pernahkah hati kita benar-benar terasa kesempurnaan sifat-sifat Allah ini? Sensitifkah kita terhadap Tuhan?

Bagaimana yang dikatakan sensitif pada Tuhan? Beberapa tahun yang lalu heboh satu kampung di dalam satu negeri apabila seorang penduduk menemui kesan tapak kaki harimau di kebunnya. Ada yang tidak berani untuk ke kebun berhari-hari lamanya kerana peristiwa tersebut. Biarpun harimau tidak kelihatan, tapi dengan adanya kesan tapak kakinya sahaja sudah mencetuskan rasa seram, cemas dan gerun kepada harimau tersebut.

Bagaimana halnya antara kita dengan Tuhan? Pernahkah tercetus rasa gerun terhadapnya apabila melihat tanda-tanda wujudnya Dia? Kalau harimau tadi bukti wujudnya ia adalah kesan tapak kaki, maka tidak cukupkah alam yang terbentang luas ini menjadi bukti wujudnya Allah? Kita melihat alam tapi hati tidak rasa cemas pada Tuhan. Mengapakah demikian?

Apabila mata kita memandang gunung-ganang yang tersergam gagah, lautan dan daratan yang luas terbentang, langit yang tiada bertongkat dan bumi yang menghijau, adakah hati kita terasa itulah kuasa Tuhan yang Maha Berkuasa. Mana ada suatu kuasa yang boleh menandingi kuasa Tuhan? Untuk meletakkan bumbung tanpa tiang pun, belum ada kita dengar manusia yang berjaya melakukannya. Inikan pula menjadikan langit tanpa ada suatu benda yang menongkatnya! Tentulah hebat kuasa Tuhan. Tetapi pelik kenapa hati kita tidak terasa itu kuasa Tuhan?

Kejadian siang dan malam kita temui setiap hari. Sejak alam diciptakan sehinggalah kini, belum, malah mustahil Tuhan tersilap di dalam mentadbirnya. Belum pernah terjadi, Tuhan tersilap memancarkan matahari pada waktu malam! Pun begitu setiap kali pertukaran malam dan siang berlaku, pernahkah kita terasa itulah bijaksana-Nya pentadbiran Tuhan!

Adakalanya berlaku banjir besar, gunung berapi meletup, gempa bumi yang menggoncang yang boleh melenyapkan apa sahaja dalam sekelip mata. Waktu itu tiada suatu kuasa lain pun yang mampu menahannya. Ternyatalah semua yang ada, adalah di dalam takluk-Nya. Tapi hairan, walau segagah itu kehebatan Tuhan, hati kita sedikit pun tidak terasa sifat Jabbar dan Qahhar-Nya. Ada yang berkata; “Kejadian yang berlaku ini adalah nature.” Hati manusia terus buta untuk mengakui kehebatan Tuhan.

Kekayaan, kemewahan, pangkat dan harta yang dimiliki semuanya adalah dari Allah. Tapi pernahkah hati ini merasakan itu adalah kepunyaan mutlak Allah, yang dipinjamkan kepada kita untuk sementara. Atau hati kita merasakan nikmat kemewahan itu adalah milik kita dan orang lain terutama fakir miskin tiada sedikit pun hak keatasnya.

Apabila kesusahan, kemis-kinan, kesempitan dan kesakitan menimpa, pernahkah hati terasa itu adalah ujian dari Allah untuk menguji keimanan kita atau kifarah ke atas dosa-dosa kita. Atau kita terus menerus mengeluh dan meratap dan menyalahkan orang lain. Paling sedih kalau ada hati yang tanpa sedar menyalahkan Tuhan dan tidak redha atas segala ketentuanNya.

Maka bukanlah sesuatu yang pelik kalau manusia berani berbuat onar di muka bumi Allah. Makan nikmat Allah tapi maksiat terus menjadi lumrah, sekalipun yang melakukannya adalah mereka yang lidahnya turut menyebut Lailahaillah! Usahlah dicari punca lain kerana semua ini berlaku tidak lain ialah apabila hati tidak peka dan tidak sensitif pada Tuhan.