Make your own free website on Tripod.com

------------------------------------------------------------
e     d     i     s     i     9
fokus

mukadimah

fokus

akhlak

dakwah

puisi

feqah

renungan

koleksi sinar
 

Umar Al-Khattab

        Nama sebenarnya ialah Abu Qahafah Umar bin Al-Khattab. Saidina Umar r.a merupakan Khalifah Islam yang kedua dalam pemerintahan Khulafa Al-Rasyidin. Beliau dilantik menjadi khalifah pada hari Selasa, 22 JamadilAkhir 13H, bersamaan 23 Ogos 634M. Beliau memerintah selama 10 tahun (13-23H). Saidina Umar terbunuh di tangan Abu Lu'lu, seorang hamba keturunan Parsi. Beliau merupakan sahabat Rasulullah s.a.w. yang terkenal dengan sifat-sifat berani, tegas, taat, bertanggungjawab, adil dan mempunyai pemikiran yang kreatif.

        Beliau mendapat gelaran al-Faruq (pemisah antara Hak dan Batil) kerana sifatnya itu. Sebelum memeluk Islam, beliau merupakan penentang Rasulullah yang ditakuti oleh orang yang memeluk Islam. Keberaniannya menyebabkan Rasulullah berdoa supaya Allah s.w.t. membukakan hati Umar untuk Islam.

        Setelah memeluk Islam, beliau telah mengisytiharkan keislamannya secara terang-terangan sehingga menggemparkan masyarakat Quraisy. Beliau berani beribadat secara terang-terangan, iaitu menunaikan sembahyang di Masjidil-Haram yang tidak pernah dilakukan oleh orang Islam sebelum itu.

        Beliau juga mencadangkan supaya Rasulullah menyebarkan Islam secara terbuka dan berjanji menghalang sesiapa sahaja yang menentang. Ketika hendak berhijrah, Saidina Umar telah keluar ke tengah kota Makkah dan mencabar sesiapa sahaja yang berani menghalang perjalanannya ke Madinah.

        Saidina Umar merupakan seorang pemerintah yang amat mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya. Beliau sendiri yang meninjau keadaan hidup rakyatnya secara menyamar diri. Beliau pernah terjumpa dengan kanak-kanak yang sedang menangis kerana kelaparan dan terus ke Baitulmal mengambil gandum dan sebagainya, memasak dan menyuapkannya ke mulut kanak-kanak tersebut.

        Beliau merupakan seorang yang sentiasa berfikiran terbuka dan bersedia menerima pendapat dan pendangan orang lain dan sanggup mengakui kelemahan dan kesilapannya sendiri.

        Umar pernah menerima pendapat Saidina Abu Bakar mengenai tawanan Perang Badar supaya mereka membayar tebusan atau mengajar kanak-kanak Islam sehingga pandai. Manakala orang yang lemah dibebaskan tanpa sebarang syarat.

        Beliau juga pernah menerima pendapat seorang perempuan supaya setiap oang berhak meletakkan mas kahwinnya mengikut kehendak mereka sendiri. Selain tu, Saidina Umar merupakan seorang yang kreatif dan banyak membuat pembaharuan untuk kemudahan dan kesejahteraan rakyatnya.

Sumbangan Saidina Umar:

Pentadbiran dan pemerintahan:
- Menyusun semula pentadbiran negara.
- Membahagikan negara Islam kepada beberapa buah wilayah.
- Melantik Gabenor bagi setiap wilayah.

Ekonomi:
- Memperkenalkan peraturan cukai tanah dan perniagaan.
- Membina sistem pengairan untuk pertanian.
- Membuka tanah baru untuk kawasan pertanian.

Sosial:
- Mewujudkan sistem pendidikan yang lebih baik.
- Mengadakan perkhidmatan pos.
- Membuat pembaharuan dalam sistem kehakiman.
- Mendirikan masjid-masjid.
- Mendirikan rumah persinggahan.
- Mengisytiharkan Hijrah sebagai takwim Islam.
- Mengemaskinikan majlis Syura'.
- Mewujudkan bandar-bandar baru dalam wilayah Islam.