Make your own free website on Tripod.com
Sinar Online
 
|| Fokus || Feqah || Tauhid || Renungan || Sisipan Istimewa ||
 

 
Sisipan Istimewa Untuk Anda
 
Hukuman Potong Tangan Lebih Adil Dan Berkesan
 
 
          "Apakah mereka memilih hukuman jahiliyah sebagai perundangan, dan manakah hukuman yang lebih baik dari hukuman Allah, kepada kaum yang beriman" 
(Al-Maidah : 50)
 

        Di dalam Islam hukuman bagi kesalahan mencuri adalah potong tangan. Hukuman ini diperuntukkan di dalam al-Quran dan ianya dimasukkan di dalam kesalahan Had. Oleh kerana hukuman ini termasuk di dalam kesalahan hudud maka hukuman tersebut tidak boleh dipinda oleh hakim dengan apa sebab sekalipun jika terbukti tanpa sebarang keraguan seseorang itu telah melakukan kesalahan harta benda orang lain.

        Kesalahan potong tangan ini sering dianggap sebagai hukuman yang tidak berperikemanusiaan dan ada juga yang mengatakan ianya suatu hukuman kuno dan barbaric. Kita tidak menafikan bahawa hukuman potong tangan adalah hukuman yang keras. Bagaimanapun, jika kita mengkaji secara mendalam kita pasti bersetuju bahawa hukuman tersebut adalah suatu hukuman yang sangat adil.

        Untuk memahami keadilan hukuman tersebut, marilah cuba memerhatikan keadaan ini. Setiap manusia di muka bumi perlu bekerja dan kita melihat 1001 jenis pekerjaan dilakukan oleh manusia sama ada manusia yang miskin atau kaya. Ada manusia yang terpaksa bangun pada pagi yang sejuk dan dingin bagi menoreh getah. Ada yang terpaksa berada di bawah panas mentari seperti mereka yang terlibat di dalam sektor pembinaan. Ada yang terpaksa bekerja berhadapan risiko tinggi sehingga boleh mengorbankan diri dan nyawa. Ada yang terpaksa memerah otak. Kesimpulannya, manusia melakukan pelbagai pekerjaan di muka bumi.

        Kenapa manusia bekerja? Jawapan yang mudah ialah bagi mendapatkan wang. Wang yang didapati sangat penting bagi manusia. Ada yang menggunakan wang tersebut untuk membeli makanan dan kelengkapan diri yang lain. wang itu juga digunakan uantuk menyara sanak keluarga serta menabung dan membuat pelaburan. Tidak ketinggalan. wang juga digunakan untuk membayar zakat, menderma dan bersedekah.

        Pendek kata, setelah bertumgkus lumus mencari wang dan harta. maka manusia begitu mengharapkan agar harta yang mereka dapat daripada hasil jerih payah mereka tersebut dapat digunakan sebaik mungkin tanpa diganggu-gugat.

        Adakah kita boleh berfikir bahawa manusia yang berakal tidak akan merasa apa-apa jika harta yang mereka dapat daripada susah payah mereka itu dengan secara mudah diambil atau dirampas daripada mereka tanpa keizinan mereka. Jawapan yang pasti ialah mereka yang kehilangan harta benda mereka kerana dicuri oleh manusia yang lain akan bersetuju jika hukuman keras dikenakan ke atas pencuri tersebut.

        Mereka mungkin bukan sahaja inginkan tangan pencuri tersebut dipotong, malahan kalau boleh pencuri tersebut dibunuh kerana oarang mencuri tanpa sebab yang boleh diterima adalah mereka yang malas bekerja dan mahu menagguk kesenangan daripada hasil titik peluh orang lain.

        Manusia mencuri menggunakan tangan. Tangan tersebut menjadi alat kepada perbuatan mencuri. Memotong tangan yang menjadi alat kepada perbuatan mencuri adalah suatu bentuk pencegahan yang paling berkesan. Mengenakan hukuman penjara dan denda tidak akan memberi kesan disebabkan alat kepada perbuatan mencuri masih boleh digunakan selepas seseorang itu membayar denda atau keluar dari penjara.

        Selain itu memotong tangan seorang pencuri boleh mnyelamatkan harta benda jutaan manusia yang lain. Ibarat seorang doktor yang memotong  anggota seseorang yang mengidap penyakit kencing manis adalah bagi menyelamatkan anggota yang lain kerana jika tidak dipotong anggota yang bermasalah tersebut, keselamatan anggota-anggota yang lain tidak akan dijamin.

        Di dalam al-Quran, Allah telah menyatakan secara jelas bahawa hukuman potong tangan itu adalah satu pencegahan (nakalan min Allah) dari Allah. Ini bermakna terdapat campurtangan Allah dari segi pencegahan dan mengawal jenayah tersebut. Hukuman yang digubal manusia bagi dikenakan ke atas pencuri tidak mendapat jaminan pengawalan dan pencegahan daripada Allah. Malahan hukuman itu dimurkai oleh Allah. Maka tidak hairanlah kadar kecurian akan terus meningkat selagi kita masih sombong dan bongkak dengan hukuman yang kita gubal.

        Semasa pemerintahan Uthmaniyyah di Semenanjung Tanah Arab, hukuman had tidak dijalankan. Dalam akhir 1920, apabila kerajaan Saudi mengambil alih, mereka telah memperkenalkan semula hukuman had tersebut dan mengarahkan para hakim untuk melaksanakan hukuman had berpandukan mazhab Hambali.

        Selepas perintah tersebut dikeluarkan, kadar jenayah di Arab Saudi menurun secara mendadak. Angka rasmi menunjukkan hukuman potong tangn tidak pernah dijalankan di Arab Saudi kecuali dua kali setahun. Perkara ini diperkuatkan lagi dalam satu Persidangan Arab mengenai Jenayah dsan Pemulihan Penjenayah yang dilangsungkan di Kuwait pada tahun 1970.

        Satu perkara yang menarik di satu derah di wilayah Ardoyne, Belfast iaitu salah satu wilayah di Ireland Utara, hukuman ke atas pencuri dijalankan oleh I.R.A dan ianya dilaporkan di dalam majalah TIME (8/4/1971) yang mengatakan bahawa kadar jenayah di wilayah tersebut telah menurun dengan perlaksanaan hukuman tersebut. Majalah TIME menyifatkan hukuman tersebut sebagai "Rough Justice".

        Seorang professor di Amerika iaitu Prof. Ducasse C.J. di dalam bukunya Philosophy and Wisdom in Punishment berkata bahawa jika penyeluk saku dibakar tangannya atau dipotong tangannya, maka mereka akan berhenti daripada melakukan perbuatan menyeluk saku.

        Islam adalah aqidah dan daulah (negara). Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah Islam mengawal harta benda rakyat yang hidup di bawah pemerintahan Islam sama ada rakyat tersebut adalah Islam  atau yang bukan Islam (ahli Zimmi). Di dalam negara Islam, ahli Zimmi dikehendaki untuk membayar cukai yang dikenali sebagai jizyah. Dengan bayaran jizyah ini maka menjadi tanggungjawab kerajaan Islam untuk mengawal darah, nyawa, harta dan maruah ahli Zimmi tersebut.

        Oleh yang demikin, kebanyakan ulama berpendapat bahawa hukuman hudud termasuk antaranya potong tangan ke atas pencuri terpakai untuk seluiruh rakyat di dalam negara Islam termasuk orang bukan Islam kerana kesalahan yang dilakukan pada hakikatnya adalah kesalahan ke atas negara yang menjadi pengawal kepada kesejahteraan rakyat. Oleh itu, negaralah yang akan bertindak ke atas pesalah tersebut dengan mendakwa pesalah itu di mahkamah.

        Sebaliknya orang bukan Islam diberi peluang menggunakan undang-undang merka sendiri dalam perkara yang menyentuh adat istiadat dan kebudayaan.
 


 
|| Fokus || Feqah || Tauhid || Renungan || Sisipan Istimewa || Koleksi Sinar ||