Make your own free website on Tripod.com

Sinar OnLine
Edisi : 3

TAZKIRAH 
 
 
Koleksi Sinar

 KHUSYUK DI LUAR DAN DI DALAM SOLAT

Assalamualaikum w.b.r. Alhamdulillah kerana masih lagi kita dapat bersama-sama di dalam keluaran Sinar kali ini. Insya-Allah, tajuk yang akan kita bincangkan sebagai usul tazkirah kita kali ini amat berkaitan dengan kewajipan kita di dalam mengerjakan solat 5 waktu iaitu Khusyuk di luar dan ketika solat. Apa itu khusyuk? Khusyuk sebagai salah satu tafsiran adalah merupakan hasil dari solat yang disertai dengan hati batin. Orang yang solat dengan penyertaan hati batin tentu akan khusyuk di dalam mengerjakan solatnya. Terjadinya khusyuk ialah kerana hati batin ikut bermunajat, zikir dan sentiasa berdoa kepada Allah serta sentiasa mengingati bahawa Allah melihat gerak-geri hamba-Nya. Di samping itu, kesedaran tentang keagungan Allah s.w.t serta kekurangan diri sebagai hamba dalam melaksanakan perintah-perintah Allah s.w.t. Kesedaran tersebut akan timbul perasaan khusyuk di dalam dan di luar solat. Manakala contoh khusyuk di luar solat; telah diriwayatkan tentang seorang hamba Allah yang tidak pernah mendongakkan wajahnya ke langit selama 40 tahun, disebabkan berasa malu dan sangat takut kepada Allah s.w.t. Rabik bin Khaitsam, senantiasa menundukkan kepalanya dan menahan pandangannya, sehinggakan orang ramai menyangkanya buta. Selama 20 tahun, beliau selalu mngunjungi rumah Ibn Masaud. Setiap kali pembantu rumah Ubn Masaud melihat Rabik datang ia berkata kepada tuannya: "Kawan tuan yang buta matanya telah datang." Ibn Masaud hanya tertawa sahaja. Setiap kali Rabik mengetuk pintu, pembantu rumah tersebut melihatnya menundukkan kepala dan hampir memejamkan mata. Setiap kali melihatnya juga, Ibn Masaud berkata:
"Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang taat(kerana patuh)" (Surah al-Hajj- penghujung ayat 34)
Pada suatu hari Rabik berjalan bersama Ibn Masaud di lorong tukang-tukang besi. Ketika dilihatnya api garang menyala membakar besi, tiba-tiba Rabik jatuh pengsan kerana terbayangkan api neraka. Ibn Masaud menunggu kawannya sedar sampai tiba waktu solat, tetapi beliau masih juga belum sedar. Ibn Masaud membawanya pulang ke rumahnya dan Rabih terus pengsan hampir 24 jam iaitu tertinggal lima waktu solat fardu. Melihatkan keadaan Rabik, Ibn Masaud berkata; "Inilah yang dinamakan khauf (takut kepada Allah)" Muslim bin Yasar, seorang hamba Allah yang sangat khusyuk di dalam solatnya sehinggakan beliau tidak sedar bahawa salah satu tiang penyangga masjid di mana beliau sedang mengerjakan solat telah roboh. Diriwayatkan juga; terdapat seorang hamba Allah yang sedang menderita sakit dan jarinya mestilah dipotong bagi mengubati penyakitnya, akan tetapi beliau menolak untuk melakukannya. Sahabatnya yang mengetahui rahsia dirinya pun berkata: "Ia tidak merasakan sesuatu bila sedang asyik di dalam solatnya." Berikutan itu, mereka bersetuju untuk memotong jarinya ketika ia sedang bersolat.
Di samping itu, terdapat juga sebahagian orang-orang yang khusyuk sembahyang dengan memendekkan sembahyangnya, disebabkan bimbang terganggu oleh was-was. Telah dikatakan Ammar bin Yasir mempercepatkan sembahyangnya. Apabila ditanyakan kepadanya, "Mengapa anda sembahyang dengann cepat?". Beliau menjawab, "Apakah kalian melihatku mengurangkan syarat-syarat sah sembahyang?" "Tidak." mereka menjawab. Ammar menjelaskan lagi, "Aku ingin cepat-cepat menghindari kelalaian akibat gangguan syaitan." Telah diriwayatkan bahawa Nabi Isa a.s menerima wahyu dari Allah s.w.t:
Dengan megerjakan sembahyang-sembahyang fardu, hamba-Ku akan memperoleh keselamatan dan dengan sembahyang-sembahyang nafilah (sembahyang sunat), hamba-Ku mendekat kepada-Ku.
Diriwayatkan juga bahawa Nabi Muhammad s.a.w pernah sembahyang dan semasa sembahyang baginda meninggalkan satu ayat. Selepas sembahyang baginda bertanya: "Apa yang kubaca tadi?" Ahli jamaah semuanya diam kecuali Ubai bin Kaab yang berkata: "Anda tadi membaca surah anu dan meninggalkan ayat anu. Kami tidak tahu adakah ayat tersebut telah dinasakhkan (digantikan) ataukah ditarik balik?" . Baginda bersabda: "Engkaulah yang benar, wahai Ubai." Kemudian baginda menujukan ucapannya kepada para sahabatnya yang lain: "Mengapa ada orang yang menghadiri sembahyang dan memenuhi barisan saf, sedang Nabi mereka di antara mereka, sedangkan mereka tidak memperhatikan ayat-ayat Kitab Allah yang dibacakan kepada mereka?" Ketahuilah, Bani Israil telah berbuat seperti kalian, maka Allah mewahyukan kepada Nabi mereka agar menyatakan:
Kalian hadirkan untuk-Ku badan-badan kalian dan menujukan kepada-Ku ucapan-ucapan kalian, tetapi jiwa-jiwa kalian jauh dari-Ku. Sungguh sia-sia perbuatan kalian. (Hadis riwayat Nasaei)
Sabda di atas memberi petunjuk bahawa orang yang sembahyang hanya pada jasad sahaja, sedangkan hati batin melayang ke tempat lain. Begitulah orang-orang yang khusyuk di luar dan di dalam sembahyang. Diharap setiap pelajar di Melbourne ini akan berusaha untuk mengerjakan sembahyang dengan lebih khusyuk lagi .Insya-Allah.