Make your own free website on Tripod.com
 
_______________________
e    d    i    s    i         1   3
FOKUS
  Life begin after 40
  Laungan Merdeka
S A L A M   D A R I   E D I T O R
F I Q H
R E F L E K S I    D I R I
S U D U T    B A H A S A
T I N T A    S A H A B A T
K O L E K S I    S I N A R

Life Begin After 40

Tanggal 31 Ogos ini, anak-anak merdeka genap 41 tahun umurnya (setahun lebih 40). Benarkah kata orang 'life begin after 40'? Ada benarnya kalau umur 40 ini dianggap sebagai puncak kematangan seseorang individu, pencapaian dalam kerjaya dan ekonomi, serta kestabilan dalam hidup berumahtangga. Menjelang umurnya 40 tahun, seorang insan bernama Muhammad mengambil langkah mengasingkan dirinya bertafakkur mencari kekuatan untuk berhadapan dengan kerosakan umat di sekelilingnya. Pada umur 40 Muhammad s.a.w dilantik menjadi rasul untuk memikul tugas yang amat berat, bagi membawa perubahan kepada dunia yang sudah hilang dan pupus keluhuran akhlak dan budi itu. Sudah menjadi hakikat kemanusiaan sejak zaman berzaman, insan-insan matang dan bijaksana dijadikan ikutan, panduan dan pimpinan. Apatah lagi jika insan itu diterangi cahaya wahyu dan hikmah. 

Di sudut negara pula, kejayaan sesebuah negara Muslim yang dewasa dan kukuh serta berjaya menempatkan diri dalam persaingan ekonomi dan politik dunia membawa harapan baru bagi saudara-saudara mereka di pelosok dunia yang sentiasa dihimpit derita. Di samping gambaran di atas, ungkapan 'life begin after 40' juga sering digunakan sebagai alasan untuk mula berubah perangai dan tabiat, dari yang sederhana dan waras, kepada menurut hawa nafsu dan tidak berpedoman. Kalau resmi beginilah yang menjadi ikutan dan anutan generasi pelapis negara, alamat kemerdekaan yang mencapai 40 tahun ini lebih menjanjikan bibit-bibit kehancuran dari menjadi harapan tempat berteduh saudara- saudaranya yang lain. 

Tiada salahnya bergembira meraikan tanggal 31 Ogos dengan cara yang patut. Memang wajar menjadikan detik 31 Ogos sebagai titik semakan untuk menilai tahap peningkatan dalam pencapaian wawasan. Memang kena dan sesuai, detik bersejarah ini diambil sempena buat mendidik dan menyedarkan generasi muda bahawa kita umat yang ada maruah, yang pernah berjuang menghalau penjajah. Cara begini, tidak dapat disangkal lahir dari kewarasan, kematangan dan kestabilan posisi hidup. Namun, 31 Ogos juga selalu menjadi hari pesta. Berpesta semata-mata kerana pesta, bersorak-sorai demi sorak-sorai, mengisi malam dengan acara maksiat, ini yang dikatakan resmi pengikut hawa nafsu. Bagaimana nak dicapai pembangunan yang sepadu dan seimbang kalau ceramah perdana ditayang, sedang rock dan rap juga bergentayangan. 

Di sini kita selepas 40 tahun merdeka. Dengan genapnya 40 tahun kita merdeka kita bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah memberikan kestabilan politik, rezeki yang melimpah ruah. Cabaran bagi kita kini ialah untuk melahirkan tanda kesyukuran kita kepada Allah s.w.t dengan menggunakan kesempatan kesuburan ekonomi ini dengan pelaburan-pelaburan jangka panjang terutama pelaburan yang pulangannya tidak hanya dikaut dan dinikmati di dunia ini sahaja, malah di akhirat yang kekal abadi. Ingatkah kita kisah Nabi Yusuf yang merancang tujuh tahun yang subur buat bersedia menanti tujuh tahun yang kemarau kering- kontang?. Yusuf yang pernah menjadi hamba yang didagang dijual, kemudiannya memegang teraju kekuasaan, tetapi kekuasaan tidak menjadikannya lupa daratan bahkan dirakamkan Allah doanya di dalam Al-Quran:  
"...Engkaulah pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah daku dalam keadaan Islam, dan gabungkan daku dengan orang-orang yang saleh."  (Yusuf: 101) 

Subhanallah, di sudut yang lain, Al-Quran menggariskan bagaimana sepatutnya sikap mereka yang diberi nikmat berupa rezeki dan kekayaan negara, pada ayat yang bermaksud : 
"(Iaitu) orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di mukabumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang maaruf dan mencegah dari perbuatan yang munkar, dan kepada Allahlah kembali segala urusan."   (Al-Hajj:41) 

MasyaAllah, bahkan Allah menjanjikan kemakmuran dan kenikmatan yang lebih lagi dengan firman-Nya:
 "Dan sekiranya mereka sungguh-sungguh menjalankan (hukum) Taurat dan Injil dan Al-Quran yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka nescaya mereka akan mendapat makanan dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka."    (Al-Maidah:55) 

Juga firman-Nya lagi,  
"Jika sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatan mereka (sendiri)."      (Al-A'raf: 96) 

Sahabat-sahabat sekalian, perlu diingat juga, bagi Allah, untuk menghancurkan satu-satu peradaban bukanlah satu perkara yang sukar. Kalaulah tindakan seorang manusia hartawan dengan sekelip mata dapat meruntuhkan pencapaian ekonomi sebuah negara yang dibina bertahun- tahun (seperti dalam kes Soros suatu ketika dahulu), apatah lagi kemurkaan Allah yang memiliki segala kekayaan baik yang di langit maupun yang di bumi. Sudah tentulah tiada bandingannya. 

Berbicara tentang peranan kita di bumi bekas penjajah Inggeris ini, tidak halal rasanya kita bersikap tidak ambil pusing dengan hala tujumasa depan bangsa dan negara kita yang sudah merdeka 41 tahun itu. Persoalan yang sering mencabar sensitiviti kita sebagai generasi pelapis ialah sudahkah ummat Melayu Islam berjaya melepaskan diri dari belenggu penjajahan. Fizikalnya barangkali sudah tetapi bagaimana dengan mental dan citarasa? Sejauh mana kita dapat membebaskan jiwa dan membentuk jati diri bangsa Melayu yang muslim mukmin persis bebas merdekanya minda dan ruh saidina Umar Al-Khattab yang berkata: "Kita adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Kalaulah kita mencari kemuliaan pada yang lain, nescaya Allah akan menghinakan kita." 

Pembentukan kerangka mental, 'world-view', atau fikrah yang menjadi neraca rabbani dalam hidup Melayu Muslim ini memang disedari pentingnya. Wujudnya kelompok-kelompok pelajar Melayu di seluruh dunia dengan pelbagai acara dan orientasi, harus dilihat sebagai pencernaan kepada kesedaran ini. Sama ada tercapai atau tidak tujuan itu, biarlah masing-masing pimpinan dan ahli kelompok menjawabnya sendiri. Amat merugikan bagi individu-individu yang memandang serong serta tidak terlibat dengan rencana penting ini. Perkiraan yang kerap kali ditimbulkan ialah isu meningkatkan martabat bangsa Melayu (yang Islam itu). Percikan kata-kata sinis dari kaum-kaum lain tentang sifat-sifat kelemahan bangsa Melayu masih kedengaran selepas lebih seratus tahun kita di 'pecah' dan di 'perintah'. Lemparan tuduhan seperti tolol, mudah ditipu, memada dengan 'cukup makan', seringkalinya bukan tidak berasas. Bahkan secara separa sedar (sub-consious) kaum bukan Islam di negara kita menjadikannya alasan untuk sukar menerima Islam sebagai Deen alternatif mereka meskipun sekian lama hidup aman damai dan melihat serba sedikit keindahan Islam.

Sebagai generasi pilihan, kita sebagai student mempunyai peluang yang sangat luas untuk membuktikan tidak benarnya tuduhan itu. Dengan kualiti ijazah dan keperibadian yang unggul, di bahu kitalah terletak tugas untuk membina motivasi generasi pelapis yang bakal memegang teraju pimpinan satu masa nanti. Meskipun kita disaran mendapat ijazah kelas satu, berdasarkan pemerhatian dan pengalaman generasi lalu, menjadi 'ulat buku' saja tidak memadai. Kemantapan komunikasi hanya dapat diasah dengan melalui kesukaran-kesukaran bermualamat dengan manusia yang pelbagai ragam. Sifat kepimpinan sejati hanya dapat dicerna bila kita berjaya menundukkan manusia harimau dan buaya yang sifatnya sentiasa hendak menerkam dan mematikan semangat juang kita. Kekentalan dan kelasakan fizikal hanya dapat diperolehi daripada program-program yang selayaknya. Barulah generasi pelapis kemerdekaan, tidak hanya melaung kosong, tapi penuh berisi. 

Selain itu, satu aspek yang amat mustahak dan sering dilupakan ialah membentuk rohani yang segar dan hati yang dekat dengan Allah s.w.t. Jiwa-jiwa inilah yang telah membangkitkan semangat jihad menentang penjajah di kalangan generasi ulama kita dahulu. Nama- nama seperti Tok Ku Paloh, Abdul Rahman Limbong, mereka inilah yang mendahului perjuangan menghalau imperial British. Tanpa mereka, mungkin kita belum sampai ke tahap kematangan ini dalam usia kemerdekaan kita. Jiwa-jiwa yang beginilah yang diharap mengisi wawasan kemerdekaan dalam mencecah alaf baru nanti. Seruan- seruan untuk membina kepekaan terhadap kemungkaran dan kemencalaan sosial jangan dipandang remeh. Sudah tiba masanya generasi muda kita sensitif hati nuraninya terhadap kebejatan moral yang melanda. Siapa lagi yang diharap untuk mempertahankan hak dan martabat bangsa dan ugama kita yang saban hari diperkotak-katikkan. Di samping itu, generasi muda juga harus mendidik diri cara melahirkan rasa tidak puas hati. Lebih mudah melaung dan melenting daripada memberi kritikan membina dan memikirkan alternatifnya. Keyakinan diri, kepersisan tanggapan, dan ketelitian tindakan yang ditimba melalui amalan syura dan amal jama'I dapat membantu diri kita dari membuat reaksi yang melulu, membabi-buta dan sendirian. Kata pepatah "Kebatilan yang bernizam (organized), akan mengalahkan haq yang tidak bernizam". 

Oleh itu, melibatkan diri dalam amalan- amalan berorganisasi perlu diberikan perhatian yang serius. Disamping mempelajari fiqh ibadat dan fiqh muamalat, penting juga kita mendapat bimbingan fiqh dalam menentukan prioriti dan keseimbangan dalam tindakan. Kesempatan berjumpa dengan tokoh-tokoh ulama, pemikir, aktivis organisasi Islam harus kita manfaatkan sementara ada peluangnya. Perhimpunan-perhimpunan berkala seperti yang diadakan di sini (InsyaAllah pada 1-3 Oktober akan diadakan Spring Gathering) ini oleh pelbagai kumpulan seperti FAMSY dan lain-lainnya, tidak lain tidak bukan, bertujuan mewujudkan peluang-peluang mempelajari aspek-aspek yang tersebut di atas. Marilah bangkit bersama generasi merdeka yang matang, kental dan berpedoman. Janganlah hendaknya generasi merdeka yang tidak ambil pusing jadi ikutan kita. Biarlah generasi merdeka yang simpang-siur, hamba nafsu dan lupa daratan mengatakan 'life begin after 40'. Untuk kita 'Life has already begun'. 

MERDEKA! 
MERDEKA! 
MERDEKA!