Make your own free website on Tripod.com

------------------------------------------------------------
e    d    i    s    i     1  1
a k h l a k

Salam
  Salam Dari Editor

Fokus
  Surah Al-Qiyamah
  Sesal Dahulu Pendapatan
  Hari Kiamat

Cerpen
  Cerpen

Akhlak
  Mus'ab bin Umaer

Suara Muslimah
  Kedudukan Wanita Dalam Islam

Sirah
  Panglima Khalid Al-Walid

Renungan
  Umat Islam Jadi Rebutan
  Cinta Itu Halal Tapi...

Sajak
  Lena Diulit Mimpi

Koleksi Sinar
 

Peribadi Mubaligh Pertama
Mus'ab bin Umaer

     Tiada sebarang keraguan bahawa Nabi SAW adalah orang yang bertanggungjawab sepenuhnya dengan amanah menjalankan dakwah. Baginda adalah Rasul Allah yang memegang amanah menyampaikan seruan Tuhan-Nya kepada seluruh  manusia walau dalam segetir manapun. Tetapi adakah tanggungjawab menyampaikan seruan Islam itu terletak pada bahu Rasulullah sahaja? Bagaimana pula dengan kita? Apakah hanya sebagai pengikut semata-mata tanpa ada hubungan dengan amanah dakwah tersebut. Untuk jawapan kepada persoalan itu, mari kita tinjau sirah Islam apabila Rasulullah mengutuskan Mus’ab bin Umaer berserta 12 orang dari kalangan Hazraj yang telah berbai’ah dengan Rasulullah ke Madinah. Mus’ab telah dipilih dari kalangan para sahabat, berdasarkan ciri-ciri pendakwah yang baik berbekalkan ilmu pengetahuan yang luas, hasil dari mendampingi Rasulullah. 

     Tanggungjawabnya sebagai jurudakwah pertama yang dilantik oleh Rasulullah untuk melaksanakan misi dakwah kepada penduduk Madinah adalah amat berat. Lebih-lebih lagi beliau diutus kepada penduduk tempat yang belum pernah didampinginya. Tugas berat Mus’ab ialah untuk mengajar Islam, khususnya untuk mengajar al-Quran dan hukum-hakam Islam. Seterusnya beliau perlu mengajar manusia tentang kewajipan melaksanakan yang ma’ruf dan meninggalkan yang mungkar. 

     Mus’ab bin Umaer telah berangkat menuju ke Madinah dengan hati yang gembira kerana telah diberi kepercayaan yang tinggi oleh Rasulullah. Mus’ab sangat gembira memikul tugas pendakwah, kerana dengan ini pengajaran tentang Islam kini sangat terbuka dan tiada rahsia lagi. Jika sesiapa tidak faham sesuatu ajaran Islam, mereka boleh bertanya kecuali tentang zat Allah SWT. Zat Allah SWT tiada bandingannya dengan sesuatu, maka tiada bahasa yang akan mampu menjelaskannya.

     Pendakwah akan menjawab semua pertanyaan selagi dia mengetahuinya, jika dia tidak tahu, pendakwah mestilah berterus terang dan secara jujur menyatakan yang dirinya tidak tahu (wallahu’alam). Pendakwah boleh meminta tangguh untuk memberikan jawapan  tanpa merasa malu kerana Nabi SAW ketika ditanya oleh Jibril tentang hari kiamat, baginda menjawab dengan jujur menyatakan bahawa yang ditanya, iaitu dirinya tidaklah lebih tahu dari yang bertanya. 

     Tugas sebagai pendakwah bukanlah mudah. Pendakwah akan berhadapan dengan berbagai ujian, tohmah dan mehnah. Mus’ab sendiri pernah terancam nyawanya apabila datang lelaki menemuinya dengan sebilah lembing yang tergenggam kemas di tangan. Tetapi dengan kehebatan ayat al-Quran, Mus’ab dengan mudah menenangkan jiwa si lelaki tadi dan akhirnya dia duduk di sisi Mus’ab sebagai seorang Muslim. Hanya Al-Quran dan sunnah Rasulullah yang dapat membantu para pendakwah dalam melaksanakan tugas mereka. Ini adalah janji Rasullullah kepada umatnya sebelum baginda wafat. Ternyata janji itu adalah benar sehingga ke hari ini. 

     Berkat keikhlasan Mus’ab dalam perjuangannya, akhirnya Islam telah tersebar ke seluruh pelusuk  Madinah. Siapakah sebenarnya Mus’ab bin Umaer? Pastilah seorang tokoh yang mempunyai kriteria yang hebat dan peribadi yang menarik. Beliau adalah seorang pemuda kota Mekah yang tampan dan hidup mewah dalam suasana keluarga yang hartawan. 

     Apabila Mus’ab menerima dakwah Nabi SAW, maka suasana mewah dan berfoya-foya dengan kesenangan telah bertukar kepada kehidupan yang sederhana. Hidup mewah dilupakan kerana Islam telah membentuk peribadinya kepaada kehidupan yang paling sederhana.

     Mus’ab telah menyertai perang Badar dan Uhud dan akhirnya syahid di medan Uhud. Ketika beliau gugur syahid,  hanya sehelai pakaian yang terlekat ditubuhnya. Kain yang sehelai itu pula terlalu singkat, jika ditarik untuk menutup kepalanya maka kakinya terbuka, begitu juga sebaliknya. Ketika berita mengenai Mus’ab disampaikan kepada Rasulullah SAW, lantas baginda menitiskan air mata, sedih dengan keadaan jenazah Mus’ab. Rasulullah menangis kerana teringat kembali sejarah awal Mus’ab semasa tinggal di Makkah sebagai belia yang paling mewah daripada keturunan hartawan terkenal. Tetapi apabila beliau meninggal dunia, beliau berada di dalam keadaan yang dhaif, tiada kain yag dapat menutup tubuhnya. 

     Akhirnya, Rasulullah SAW menyuruh supaya kain yang ada itu menutup bahagian kepalanya, sementara bahagian kakinya ditutup dengan rumput-rumput kering. 

     Kesimpulannya, tugas dakwah ini bukanlah khas untuk Rasulullah SAW ataupun tanggungjawab para khulafa’ ar-Rasyidin sahaja. Sesungguhnya tugas dakwah itu  merupakan komponen  yang tidak dapat dipisahkan daripada Islam itu sendiri. Sama ada sedar atau tidak, tugas itu memang terletak di bahu kita.. Kita yang menggelarkan diri kita muslim. Yang beriman di bawah lembayung kalimah syahadah. Yang mengucapkan “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah”. Setiap kali kita mengahadap Allah, lima kali sehari, kitalah pendakwah itu. Sesungguhnya setiap muslim tidak dapat memisahkan diri dari memikul amanah dakwah, walau apapun kedudukan seseorang itu

Wallahu’alam